SERDANG, 1 April- Penggunaan ikan zebra di dalam kaedah penyaringan inovatif mampu meningkatkan kejayaan dan produktiviti dalam penyelidikan, penemuan dan pembangunan ubat yang berkaitan dengan penyakit otak.
Ketua Laboratori Penyelidikan Ubatan dan Produk Semulajadi (NaturMeds) di Institut Biosanis (IBS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Siti Munirah Mohd Faudzi berkata kajian menunjukkan bahawa otak ikan zebra serta mamalia berkongsi sistem neuroanatomikal dan sistem isyarat neuronik asas yang relevan dengan penyakit otak manusia.
"Ikan zebra muncul sebagai model haiwan yang berpotensi sejak dua dekad lalu di seluruh dunia, terutama di dalam kajian toksikologi.
"Ia mempunyai kesamaan genetik yang besar dengan manusia dan keunikan seperti kadar pembiakan yang cepat, kebolehan untuk diubah suai secara genetik, kos yang rendah serta kemudahan pengendalian yang baik berbanding tikus makmal.
"Ikan zebra sebagai model yang berguna untuk menilai kecacatan tingkah laku sosial termasuk autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD)," katanya menerusi kenyataan.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa faktor yang perlu diberi perhatian sekiranya menggunakan ikan itu di dalam uji kaji.
Ini termasuk pemeliharaan yang baik, kebersihan dan kestabilan persekitaran akuatik serta pemakanan yang betul.
Mengulas berkenaan kekurangan populasi ikan zebra, Siti Munirah menegaskan bahawa peraturan ketat diperlukan untuk mengawal penggunaan ikan zebra di dalam kajian saintifik bagi mengelakkan ancaman terhadap populasi ikan berkenaan.
Justeru itu, pembiakan ikan zebra di NaturMeds di IBS telah dilaksanakan sejak 2012 untuk meningkatkan populasi ikan tersebut di dalam makmal.
"Peningkatan populasi ikan zebra di dalam makmal memberi kemudahan kepada penyelidik UPM terutamanya di NaturMeds untuk melakukan pelbagai kajian termasuk dalam penemuan dadah, neurosains, dan ekotoksikologi," kata Siti Munirah.