PENDANG, 1 Jun - Prihatin dengan kesusahan dialami seorang ibu tunggal yang lumpuh, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Kedah tampil menghulurkan sumbangan.
Selain sumbangan, program gotong-royong turut diadakan membersihkan kediaman keluarga berkenaan yang dipenuhi semak samun.
Program diadakan dengan kerjasama penduduk setempat dan beberapa badan bukan kerajaan, (NGO) lain termasuk Kelab Kebajikan Zulmuhammadi; Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS) serta Wanita dan Angkatan Muda Keadilan Cabang Pendang.
Pengerusi MCPF Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, seramai 35 sukarelawan bergotong-royong membersihkan rumah, Che Norma Ahmad@ Che Ali, 50, di Kampung Paya Mat Inson.
Rumah yang dibina diatas tanah milik kerajaan itu didiami Che Norma bersama dua anaknya.
Anak bongsunya yang berusia 9 tahun masih bersekolah, manakala anak sulungnya yang berusia 16 tahun sudah tidak bersekolah akibat kesempitan hidup.
Zulkifly berkata, selain barangan keperluan harian dan wang tunai, pihaknya akan membantu memperbaiki kediaman bagi memberi keselesaan kepada Che Norma dan anak-anaknya.
"Kita bergotong-royong hari ni membantu membersihkan rumah saudara kita yang uzur. Kerja-kerja pembersihan yang kami lakukan ini, bukan di Pendang sahaja, namun kami akan membantu mereka yang kurang berkampuan dan uzur, terutama yang tinggal bersendirian. Kami akan teruskan usaha ini dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui RTM.
Che Norma sebelum ini seorang yang aktif dan rajin membantu masyarakat, namun kini hanya mengharapkan ihsan orang ramai bagi meringankan beban yang ditanggungnya selepas lumpuh.
"Terima kasih kepada kepada semua yang tolong gotong-royong bersihkan rumah saya," katanya.