fb fb fb fb fb

Majikan digalakkan gaji pekerja tempatan

FOTO RTM

SEREMBAN, 1 Jun - Majikan digalakkan menggaji pekerja tempatan daripada pelbagai sumber sedia ada, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. 

Menurut Exco Keusahawanan, Sumber Manusia,  Perubahan Iklim, koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan, ini termasuk pekerja tempatan yang ditawarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia iaitu Orang Diselia (ODS), Orang Diparol (ODP) serta Orang Bebas Berlesen (OBB).

"Saya mendapat testimoni bahawa banduan ini lebih efektif atau lebih baik daripada pekerja asing dalam pekerjaan mereka."

"Maklumat ini datang daripada majikan yang mengambil ODS atau OBB, jadi di Mantin ini ada lebih kurang 500 ODS atau OBB yang telah digunakan sebagai pekerja tempatan, di kilang-kilang ataupun majikan di Negeri Sembilan telah mengambil mereka untuk bekerja."

Beliau berkata demikian pada sidang media Seminar Perburuhan Kolaborasi, Tripartite di Antara Majikan, Pekerja dan Agensi Kerajaan dalam Memperkasakan Ekonomi Mampan di Negeri Sembilan.

Tambahnya, mereka akan di pantau oleh pihak penjara sehingga tempoh hukuman tamat dan diserapkan sebagai pekerja tetap.  

Setakat ini, 549 pekerja tempatan dalam kalangan penghuni penjara dibekalkan kepada 76 majikan di negeri itu untuk menjalani latihan kerjaya. 

SITI AISHA MELISA YUHANIZ