KUALA LUMPUR, 6 Jun 2025 – Sambutan Hari Gawai disaran diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan warisan budaya masyarakat Dayak Sarawak dapat terus dikongsi dan dihayati oleh seluruh rakyat tanpa mengira lokasi geografi.
Usaha itu bukan sahaja mampu memperkukuh semangat perpaduan, malah mencerminkan komitmen negara dalam menghargai dan meraikan kepelbagaian budaya secara inklusif.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Gobi Krishna Sinniah, sudah tiba masanya sambutan Hari Gawai diberikan ruang khas di Semenanjung seperti di taman budaya atau lokasi awam terbuka.
"Kalau kita ada kawasan yang lebih luas di Semenanjung, masyarakat Sarawak boleh anjurkan pelbagai aktiviti seperti pesta tarian dan juga membina konsep rumah panjang.
"Mereka boleh adakan Rumah Terbuka sepanjang sambutan Hari Gawai supaya orang ramai dapat datang, melawat, dan merasai sendiri makanan serta suasana budaya mereka.
"Setidak-tidaknya, mereka ada ruang untuk terus sambut Hari Gawai dan kongsikan tradisi mereka dengan masyarakat setempat," katanya ketika ditemui media selepas program Selamat Pagi Malaysia di sini.
Tambah beliau, sambutan sedemikian bukan sahaja menghidupkan budaya tradisi dalam kalangan masyarakat perantauan, malah membuka peluang kepada pelancong asing dan rakyat tempatan mengenali budaya Malaysia secara lebih mendalam – melebihi sekadar tarikan moden.
Beliau turut berkata, kepelbagaian budaya merupakan aset nasional yang signifikan, khususnya dalam sektor pelancongan yang terus berkembang.
"Jika Hari Gawai dijadikan sebahagian daripada kalendar kebudayaan nasional di Semenanjung, ia bukan sahaja menonjolkan wajah perpaduan Malaysia, tetapi juga memastikan warisan budaya terus hidup dan dihargai di seluruh pelosok negara," katanya.