fb fb fb fb fb

Ibu bapa, pelajar teruja dan bangga semat lencana Jalur Gemilang

Ibu bapa dan pelajar menyifatkan pemakaian lencana simbolik itu dianggap sebagai lambang kesetiaan kepada tanah air

KUALA LUMPUR, 21 April - Pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah dilihat mampu memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah rendah.

Di PULAU PINANG, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Minden Height menyatakan rasa bangga dan teruja apabila diperkenalkan dengan pemakaian lencana simbolik itu yang dianggap sebagai lambang kesetiaan kepada tanah air.

“Saya rasa sangat bangga kerana ia satu simbolik untuk memartabatkan bendera Malaysia serta melahirkan semangat patriotik dalam diri saya sebagai rakyat Malaysia,” kata Muhammad Darwisy Hakimi Rahim.

Bagi Muhammad Haikal Mat Jamil pula, lencana Jalur Gemilang bukan sekadar perhiasan, tetapi membawa maksud mendalam dalam memahami perjuangan tokoh-tokoh negara terdahulu.

“Ia mengajak kita menghargai perjuangan mereka dan memberi kesedaran tentang tanggungjawab kita sebagai orang Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Damia Ahmad Mawardi menyifatkan pemakaian itu sebagai satu bentuk kebanggaan terhadap negara yang boleh menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Di KEDAH, simbolik pelaksanaan inisiatif itu disempurnakan oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar, Wan Khalim Ahmad bersama Guru Besar SK Sultanah Asma, Zuraimi Mansor dalam satu majlis khas yang turut dihadiri ibu bapa pelajar.

Rata-rata ibu bapa menyambut baik pelaksanaan dasar tersebut sebagai langkah awal mendidik pelajar menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan bersatu padu.

“Ia amat baik kerana kita mahu tanam semangat patriotisme kepada pelajar. Bila mereka ke mana-mana, mereka akan rasa sayang kepada negara. Kita juga mahu lahirkan insan seimbang dari aspek jasmani, emosi, dan rohani,” kata Suzilawati Samad.

“Saya sangat setuju dengan inisiatif ini kerana ia juga membantu menyemai semangat perpaduan dalam kalangan anak-anak pelbagai kaum di sekolah,” tambah Sarjan Siti Hajar Abdul Ghani.

“Ia mampu menyatupadukan masyarakat majmuk dan dalam masa sama menanam semangat cintakan tanah air sejak kecil,” kata Ranzi Halim.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini mengumumkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang diwajibkan pada pakaian seragam sekolah bermula 22 April.

Ia sebagai salah satu inisiatif memperkukuh nilai patriotisme dalam kalangan murid-murid.

Langkah itu turut selaras dengan usaha kerajaan menyemai semangat kenegaraan, menghormati bendera kebangsaan serta memperkasakan Rukun Negara sebagai asas pembentukan jati diri generasi muda Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN