fb fb fb fb fb

Hukuman mati masih wujud, pemansuhan hanya libatkan hukuman mati mandatori

PUTRAJAYA, 13 Jun- Hukuman mati masih wujud dalam perundangan Malaysia walaupun kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori pada 8 Jun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dan digantikan dengan hukuman gantian yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

"Sekarang secara prinsipnya kerajaan bersetuju pada 8 Jun bila Jemaah Menteri bersetuju, maknanya prinsipnya kerajaan tidak akan melaksanakan hukuman mati mandatori tetapi di mahkamah sana masih.

Keputusan kerajaan hanya melibatkan pemansuhan hukuman mati mandatori sahaja melibatkan 11 kesalahan, iaitu Sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua kesalahan Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971," katanya dalam sidang media di sini.

(Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika sidang media di Putrajaya)

Beliau menjelaskan hukuman mati mandatori merujuk kepada peruntukan-peruntukan kesalahan jenayah iaitu tertuduh yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati tanpa sebarang pengecualian.

"Ini kerana hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman mati kepada tertuduh apabila disabit dengan kesalahan contohnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya lagi.

Tambah beliau, bacaan pertama berkaitan pindaan akta pemansuhan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di parlimen pada Oktober depan.

Tinjauan umum berhubung pindaan itu akan dilakukan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang bagi mendapatkan pandangan rakyat berkaitan pindaan akta tersebut.

Jelasnya lagi, moratorium ke atas pelaksanaan hukuman mati mandatori sejak 2018 akan kekal sehingga pindaan akta itu dimuktamadkan.

Sementara itu, Wan Junaidi turut memaklumkan, satu tribunal diwujudkan bagi mengkaji hukuman terhadap banduan akhir selepas pindaan pemansuhan hukuman mati mandatori diselesaikan kelak.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bakal mengkaji serta meneliti kebolehlaksanaan syor-syor yang dikemukakan untuk banduan berkenaan.

Setakat ini terdapat seribu 342 banduan telah dijatuhkan hukuman mati.

Sebelum ini, pelaksanaan hukuman mati banduan akhir ditangguhkan berikutan pengumuman moratorium sejak 2018 yang mahu mengkaji hukuman mati sebagai langkah reformasi perundangan negara.

Media Baharu