fb fb fb fb fb

Hubungan Malaysia-Iraq diperkukuh

(Datuk Seri Zambry memaklumkan, keputusan Kabinet itu telah disampaikan
semasa lawatan rasmi ke Iraq dari 23 hingga 25 Ogos lalu)

PUTRAJAYA, 26 Ogos- Malaysia akan membuka semula Kedutaan Besar Malaysia di Republik Iraq.

Pengoperasian semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad yang telah ditutup sementara sejak dua dekad yang lalu akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.

Melalui kenyataan, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan, keputusan Kabinet itu telah disampaikan semasa lawatan rasmi ke Iraq dari 23 hingga 25 Ogos lalu.

Bersempena lawatan tersebut, beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Iraq termasuk Presiden Abdul Latif Rashid.

Beberapa persetujuan turut dicapai seperti menggalakkan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara dua negara secara berterusan.

Selain itu, Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia+Iraq yang telah tertangguh sekian lama akan dilaksanakan semula dengan segera.

Dalam pada itu, Malaysia akan menerokai peluang meningkatkan jumlah dagangan serta mengambil bahagian dalam projek pembinaan dan pengurusan lapangan terbang, serta meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan.

Malaysia turut mengalu-alukan hasrat Iraqi Airways memulakan penerbangan berkala ke KLIA dengan segera.

Malaysia dan Iraq juga bersepakat menangani isu berkaitan Islamofobia secara kolektif dengan negara-negara Islam yang lain.

(Hubungan Malaysia-Iraq diperkukuh/Wisma Putra)

Media Baharu