fb fb fb fb fb

Hubungan Malaysia-China melebihi perdagangan, pelaburan

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Hubungan Malaysia-China melebihi pelaburan, perdagangan, kefahaman dan rasa hormat meliputi budaya serta peradaban.

Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim berkata, kesemua perkara berkenaan perlu seiring dengan kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

"Hubungan ini bukan sahaja dalam ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan malah ia perlu menjamin keamanan dan membina persahabatan berdasarkan kepercayaan. Satu ciri penting dan unik dalam kesemua ini disokong dasar dan wawasan.

"Perkara ini untuk memastikan asas pengukuhan ekonomi, keamanan negara dan kestabilan kedua-dua negara terjamin. Selain itu perlu adanya visi untuk menghormati perbezaan budaya dan menghormati makna sebenar tamadun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China di ibu negara.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China Sun Yeli.

Sebelum itu majlis turut mempamerkan persembahan dron dan pencahayaan sebagai simbol persahabatan Malaysia-China.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI