fb fb fb fb fb

Huawei Malaysia, SKMM tandatangan MoU kerjasama bakat inisiatif

Fahmi Fadzil (tengah) menyaksikan MoU ditandatangani antara Huawei Malaysia dan SKMM

BARCELONA, 26 Februari- Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

MoU itu bagi menjalin kerjasama dalam pembangunan bakat inisiatif untuk industri komunikasi dan multimedia di Malaysia, selain penyelidikan kolaboratif relevan berkaitan bidang tersebut.

Ia ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Naib Presiden Huawei Malaysia, Zac Chow di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Barcelona 2024 di Fira Gran Via di sini.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Melalui perkongsian berkenaan , program Kecemerlangan Kepimpinan Digital: Menavigasi Sempadan Teknologi akan dilaksana untuk memupuk sekumpulan 300 pemimpin digital masa depan melibatkan kakitangan industri dan sektor awam dalam tempoh tiga tahun dengan tempoh sasaran pelancaran dari 2024 hingga 2026.

Kedua-dua pihak itu juga akan melaksanakan program khusus, kelayakan mikro dan pensijilan untuk menangani keperluan pembangunan bakat dalam industri berkenaan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA