JOHOR BAHRU, 18 Ogos- Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan seorang pesakit kehilangan barang kemas semasa menerima rawatan di hospital berkenaan.
HSA dalam kenyataan hari ini berkata,pihaknya mengambil maklum berkaitan video tular di TikTok yang dimuat naik pemilik akaun @sarawanannagayah semalam yang tidak berpuas hati berhubung isu kehilangan barang kemas pesakit itu.
Kenyataan itu memaklumkan siasatan berkaitan seorang pesakit kehilangan barang kemas ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT), HSA dan dinyatakan bahawa kamera litar tertutup (CCTV) di hospital tidak berfungsi.
Menurutnya, CCTV tidak dipasang di kawasan rawatan pesakit demi menjaga privasi pesakit.
“Siasatan lanjut berhubung isu ini sedang dijalankan dan pihak pengurusan hospital juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis jika memerlukan siasatan lanjut.
"Pihak pengurusan HSA sentiasa komited dan berusaha untuk meningkatkan kepuasan hati pelanggan dan imej hospital dalam memberikan perkhidmatan perawatan yang terbaik," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, video itu memaparkan seorang lelaki yang mendakwa dari sebuah pertubuhan kebajikan masyarakat meluahkan ketidakpuasan hati dengan pihak pengurusan hospital susulan isu kehilangan barang kemas didakwa milik seorang pesakit wanita ketika menerima rawatan di JKT pada 25 Julai lepas dan mendakwa CCTV di hospital itu tidak berfungsi.
Lelaki dirakam bersama wanita yang didakwa pesakit itu turut menggesa semua pihak yang terlibat bertanggungjawab dan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu pesakit berkenaan.