LANGKAWI, 13 September- Hospital Sultanah Maliha, di sini akan menjadi hospital pakar utama selepas projek pembinaan bangunan tambahan hospital itu siap sepenuhnya pada Julai 2025.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata bangunan tambahan dengan kos RM425 juta itu akan menyediakan tambahan 220 katil, enam dewan bedah, 40 unit kuarters kakitangan hospital dan tempat letak kereta bertingkat.
"Pelancong kalau dia datang ke hospital kerajaan bukan kadar subsidi, tidak percuma, dia kena bayar penuh, jadi kalau bayaran penuh mesti kita sediakan sesuatu yang bertaraf antarabangsa, tak akan kita nak hantar ke hospital biasa sahaja.
"Sebab itu konsep hospital bangunan tambahan Sultanah Maliha ini adalah lebih kepada konsep yang bertaraf antarabangsa, reka bentuk dia pun macam hospital swasta.
"Sebab itu kos dia tinggi sikit tapi tidak apa, sebab memang unik kepada Langkawi, kita nak supaya bila pelancong datang sini, dia tahu pergi hospital kerajaan macam hospital swasta," katanya.
(Khairy Jamaluddin)
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha, di sini pada Isnin.
Tambah Khairy, Kementerian Kesihatan juga akan membina sebuah klinik kesihatan di Pulau Tuba pada tahun hadapan, selain meluluskan pembelian ambulans laut bagi meningkatkan kemudahan kesihatan di pulau berkenaan.