Hormat titah Sultan Perak, larang ucapan politik di masjid, surau

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad/BERNAMA

IPOH, 25 Februari– Semua pihak diingatkan supaya mematuhi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang melarang ucapan berunsur politik di masjid dan surau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua pihak diingatkan mematuhi titah Sultan Perak yang melarang ucapan politik di masjid dan surau.
  • Larangan bertujuan memastikan rumah ibadah kekal sebagai tempat penyatuan umat tanpa unsur kepartian.
  • Wakil rakyat kerajaan dan pembangkang telah diingatkan untuk tidak berucap politik di masjid.
  • Sekiranya dilanggar, pihak terlibat perlu bersedia menghadapi tindakan susulan dan jawatankuasa masjid bertanggungjawab.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan larangan itu perlu dipatuhi bagi memastikan rumah ibadah kekal sebagai tempat penyatuan umat dan bebas daripada unsur kepartian.

Beliau berkata sebagai EXCO Agama Islam, beliau sendiri mematuhi sepenuhnya titah tersebut dan peringatan turut diberikan kepada semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

“Saya tidak pernah melakukan perkara itu dan telah mengingatkan semua wakil rakyat, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.”

“Justeru, sekiranya masih ada pihak yang melanggar titah Tuanku, mereka perlu bersedia untuk berdepan dengan sebarang tindakan susulan atas kesalahan tersebut,” kata Datuk Seri Saarani kepada pemberita, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen PAS Parit yang berucap dalam sebuah majlis di Masjid Qariah Kampung Air Mati, Bota, baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan tanggungjawab membenarkan ucapan di masjid terletak pada pengerusi dan jawatankuasa masjid.

Sehubungan itu, semua pihak diseru menghormati titah Sultan demi memelihara kesucian institusi masjid serta keharmonian masyarakat.