KUALA TERENGGANU, 16 September – Polis Terengganu melaporkan tiga kematian dan enam kecederaan membabitkan peserta Himpunan Yamaha RXZ 6.0 di Terengganu.
Ketua Polis, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, kemalangan berlaku di daerah Marang, Kemaman, dan Hulu Terengganu sepanjang hujung minggu lalu.
Katanya, kematian pertama berlaku di Marang pada Sabtu lalu, mangsa dikenal pasti sebagai Abdul Salim Mohamed Hashim, 58 tahun, dari Batu Gajah, Perak.
"Mangsa maut apabila sebuah pacuan empat roda mengundur dari hadapan kedai makan di kilometer (km) 24, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.
"Sebuah kereta yang gagal mengelak pacuan empat roda itu terbabas ke laluan bertentangan, melanggar motosikal mangsa serta beberapa kenderaan lain," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Manakala, kes kedua berlaku di kilometer km 270.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman.
Mangsa, Mohamad Firdaus Abdul Rashid, 29 tahun, dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, maut apabila motosikalnya hilang kawalan dan terbabas selepas mengelak patung penyu yang berada di atas jalan raya.
Sementara itu, kematian ketiga direkodkan di Hulu Terengganu apabila Ahmad Amir Muhamad, 29 tahun, dari Felda Jengka 18, Pahang.
"Mangsa terlibat dalam kemalangan semasa memotong sebuah lori menggunakan lorong kecemasan. Mangsa bergesel dengan sebuah motosikal yang berhenti di lorong kecemasan sebelum terseret ke bawah lori dan maut di tempat kejadian," katanya.
Pihak polis turut mengeluarkan 89 saman bagi pelbagai kesalahan sepanjang dua hari operasi di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Antara kesalahan yang paling banyak direkodkan adalah ubah suai ekzos (24 kes), tiada cermin sisi (15 kes), dan aksesori tidak sempurna (10 kes).