SERDANG, 5 September- Umat Islam diseru menghentikan perbalahan sesama sendiri termasuk mengelak daripada menyemarakkan sentimen kebencian atas nama agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menegaskan tindakan sedemikian hanya meruntuhkan dan memecahbelahkan perpaduan keluarga serta masyarakat.
"Cukup-cukuplah kita berbalah sesama sendiri, meniup sentimen kebencian atas nama agama, berperang di media sosial, mengapi-apikan berita fitnah sehingga memecahbelahkan keluarga dan masyarakat, akhirnya bak peribahasa 'yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang'," katanya.
Beliau menambah, semangat sambutan Hari Kebangsaan ke-68 baru-baru ini wajar dijadikan dorongan untuk memperkukuh penguasaan ilmu dan teknologi selain merapatkan saf perpaduan.
Mohd Na’im turut menekankan kepentingan menjadi pendamai bagi menyuburkan keharmonian sekali gus membangunkan gagasan Malaysia Madani.
Katanya lagi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa agama Islam negeri akan terus diperkasa bagi memastikan program penghayatan Islam benar-benar berkesan khususnya dalam menangani isu sosial dan kemasyarakatan.
Beliau berucap pada Sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat kebangsaan 1447H/2025M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Sementara itu, tema "Membangun Ummah Madani" diangkat sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Mohd Na’im berkata tema berkenaan membawa makna besar dalam menyeru umat Islam menghayati risalah dan peribadi mulia Rasulullah SAW.
Menurutnya, kelahiran Rasulullah SAW membawa sinar dalam memadam kabut kejahilan, menegakkan keadilan dan menolak kezaliman, selaras dengan kesungguhan Kerajaan Madani memastikan kesejahteraan negara.
"Rasulullah juga membimbing manusia dengan ilmu, hikmah serta akhlak yang mulia. Manakala al-Quran dan as-Sunnah menjadi panduan untuk mengukuhkan iman dan takwa, sekali gus menjadi rahmat buat sekalian alam," katanya.
Beliau turut mengajak rakyat berdoa agar Malaysia terus dilimpahi keselamatan dan keberkatan, selain memohon kesejahteraan serta perlindungan untuk umat di Palestin.