fb fb fb fb fb

Henti perbuatan hina agama, hormati kedudukan agama Islam

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 24 Mac- Hentikan perbuatan menghina agama yang boleh menimbulkan kemarahan dan menimbulkan suasana tidak tenteram dalam masyarakat sebaliknya, hargai keamanan dan hormati kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau menyatakan perkara itu ketika mengulas berkenaan pelbagai isu berkaitan dengan agama Islam yang banyak dimuat naik di media sosial hingga menimbulkan kekeliruan dan kemarahan masyarakat. 

"Saya menyeru kepada semua masyarakat untuk menghargai keamanan yang ada dalam negara ini. Jangan kita wujudkan suasana yang boleh menghapuskan atau meregangkan hubungan ini dan menimbulkan kemarahan agama lain dengan menggunakan platform media sosial untuk terus mewujudkan suasana tegang.

"Nasihat saya hentikanlah perbuatan penghinaan terhadap agama khususnya agama Islam sebab ia sudah jelas disebut dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama Persekutuan. Jadi kita kena hormati kedudukan agama Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rahmah Ramadan MAIWP menziarahi Pusat Kebajikan dan rumah asnaf di ibu negara.

Berdasarkan rekod, MAIWP telah menyalurkan bantuan kepada Asrama Darul Falah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia PERKIM sebanyak RM610,000 sejak tahun 2019 hingga 2023.

Turut disampaikan sumbangan wang tunai bernilai RM500 dan bakul rezeki kepada tiga buah keluarga penerima bantuan zakat MAIWP di Sentul, Kuala Lumpur.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI