DUNGUN, 16 Januari- Polis meminta penduduk menghentikan serta-merta aktiviti mengutip kerang di sepanjang pesisir pantai di sini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Ia berikutan keadaan ombak besar dan angin kencang sedang melanda ketika ini.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, angin kencang berkelajuan kira-kira 60 kilometer sejam disertai ombak setinggi 4.4 meter meletakkan pesisir pantai di daerah Dungun dalam berisiko tinggi.
"Perubahan cuaca tidak menentu juga boleh mendatangkan pelbagai risiko kepada orang ramai kerana terdapat segelintir individu yang membawa anak kecil ke lokasi berkenaan," kata Maizura.
Bagaimanapun pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan berharap supaya orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai berikutan keadaan semasa.
Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat individu yang tidak mengendahkan arahan yang dikeluarkan.
Semalam tinjauan RTM mendapati ramai individu ke Pantai Sura untuk mengutip kerang yang memenuhi pesisir pantai terbabit sejak petang Selasa.