PUTRAJAYA, 17 Julai – Malaysia sekali lagi mengungguli pentas antarabangsa apabila meraih sembilan pengiktirafan hartanah pada Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence 2025 yang berlangsung di Lagos, Nigeria, bulan lalu.
Lima projek tempatan berjaya merangkul pingat emas manakala empat lagi menerima pingat perak.
Pengiktirafan itu meliputi pelbagai kategori pembangunan termasuk perumahan mampu milik, perindustrian, alam sekitar, pejabat dan kediaman bertingkat rendah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu bukan sahaja satu kejayaan besar, malah mengangkat imej dan taraf industri hartanah negara ke peringkat antarabangsa.
“Pengiktirafan ini membuktikan tahap kebolehan dan keupayaan tinggi pemaju tempatan dalam menyediakan perumahan yang mampan dan berkualiti, setaraf dengan negara maju lain.
“Pemaju hartanah negara kini mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan syarikat pemaju terkemuka di peringkat global,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kecemerlangan Pemaju Hartanah Malaysia di sini, hari ini.
Nga berkata, sejak 2014 hingga 2024, sebanyak 21 syarikat pemaju tempatan dengan 35 projek telah menerima pingat emas FIABCI World Prix d’Excellence, yang disifatkan sebagai ‘Anugerah Oscar’ dalam industri hartanah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pemaju atas sumbangan kolektif mereka dalam memperkukuh daya saing dan kelestarian sektor hartanah negara.