(Kejohanan Tembak Royal Malaysia Police (RMP) Open
Championship 2023 Level III yang berlangsung di Putrajaya)
PUTRAJAYA, 7 Mei- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan kerjasama bagi membanteras isu kemasukan syabu dan pil yaba dari negara jiran.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, kenyataan Ketua Polis Wilayah Narathiwat sebelum ini menyatakan dadah tersebut paling banyak dibawa masuk ke Malaysia.
"Ini satu perkembangan menarik dan saya mengalu-alukan kenyataan yang dikeluarkan.
"Dan kita berharap kenyataan seperti ini akan memudahkan lagi dan membantu PDRM dalam usaha untuk memerangi kebanjiran dadah-dadah sintetik dari negara jiran," katanya.
(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani)
Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Tembak Royal Malaysia Police (RMP) Open Championship 2023 Level III, di sini hari ini.
Terdahulu Polis Thailand mendedahkan syabu dan pil yaba adalah antara jenis dadah yang paling banyak dibawa masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di sempadan kedua-dua negara.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mej Jen Anuruth Imarb berkata, kesemua dadah tersebut dibawa masuk dari kawasan utara Thailand iaitu di Segi Tiga Emas (Thailand, Laos dan Myanmar) melalui sindiket dadah, sebelum tiba di sempadan wilayah selatan di Malaysia.
Kawalan keselamatan di perairan pantai timur Sabah berada pada tahap terbaik
Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata kawalan keselamatan di perairan pantai timur Sabah masih berada pada tahap yang terbaik.
Bagaimanapun, kesiapsiagaan anggota dan aset sentiasa dipertingkat supaya berada pada paras optimum.
Menurutnya, statistik kes yang paling utama berlaku di perairan kawasan tersebut adalah membabitkan penculikan untuk meminta wang tebusan.
"Sehingga kini kita lihat pada tahap yang terbaik...saya sering ulang bahawa tahap terbaik ini tidak boleh kita longgarkan, kesiapsiagaan sentiasa akan dipertingkat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata PDRM juga sentiasa memohon kepada kerajaan untuk menambah kekuatan aset seperti vesel atau mengganti aset yang telah usang.
Selain itu, lebih banyak pos kawalan turut akan dibina di sepanjang sempadan Sabah dengan Kalimantan Utara termasuk di pulau-pulau.