fb fb fb fb fb

Harga tiket penerbangan musim perayaan Sabah, Sarawak berasaskan CSR - Zahid

(FOTO FAIL)

PAPAR, 4 Mei - Syarikat penerbangan wajar menetapkan harga tiket penerbangan musim perayaan Sabah dan Sarawak berdasarkan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan bukan permintaan serta penawaran semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu tiket penerbangan mahal dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan telah dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi masalah itu.

(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi)

"Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sudah berbincang dengan syarikat penerbangan supaya tidak menggunakan asas terhadap tiket penerbangan ini mengikut permintaan dan penawaran tetapi mesti ada unsur Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepadanya.

“Kita harap semasa perayaan mendatang, perkara ini diatasi segera dan kami amat prihatin terhadap masalah dihadapi terutama kos penerbangan rakyat Sabah dan Sarawak bekerja di Semenanjung. Kita akan lihat pada Pesta Kaamatan dan Hari Gawai nanti supaya masalah ini tidak timbul lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra di MRSM Kota Kinabalu di sini yang kini dikenali sebagai MRSM Tan Sri Musa Aman yang turut dihadiri Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Tambah Ahmad Zahid, mewujudkan syarikat penerbangan butik yang menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga merupakan antara langkah yang mampu memastikan harga tiket penerbangan itu berada dalam kadar berpatutan.

Beliau turut menzahirkan keprihatinan dengan rungutan rakyat Sabah dan Sarawak berhubung isu tiket penerbangan mahal itu.

"Kementerian Pengangkutan diminta memberi perhatian terhadap isu tersebut terutama ketika perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang bakal tiba tidak lama lagi," katanya.

Media Baharu