fb fb fb fb fb

Hanya 30% syarikat bayar zakat perniagaan - LZS

(Mohd Sabirin Mohd Sarbini)

SHAH ALAM, 14 April- Tahap kesedaran syarikat dalam membayar zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) masih rendah apabila hanya 30% menunaikan tanggungjawab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, antara faktor itu berkemungkinan wujud kekangan terutama syarikat yang memiliki ramai pemegang saham, selain faktor kekangan kedudukan kewangan.

"Kekangan itu terutama syarikat yang mempunyai ramai pemegang saham, mereka mungkin memerlukan persetujuan semua pemegang saham, " katanya ketika ditemui media dalam Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan (Imtiyaz) 2023 di sini.

Pada majlis itu, LZS menerima zakat perniagaan daripada 47 syarikat dan pengeluar zakat individu berjumlah sebanyak RM3.3 juta.

Antara syarikat yang menunaikan zakat berkenaan termasuk Maybank Islamic Berhad, Little Caliphs International Sdn. Bhd. dan Yayasan Guru Malaysia Berhad.

LZS turut menyerahkan bantuan zakat kepada empat individu dan institusi dengan keseluruhan berjumlah RM29.2 juta.

Selain itu, sebanyak sembilan majikan turut menerima pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai tanda penghargaan bersama menyantuni golongan asnaf menerusi komitmen menunaikan zakat perniagaan dan zakat pendapatan.

(Maybank Islamic Berhad menyerahkan replika cek zakat perniagaan
kepada pihak LZS)


 

Media Baharu