fb fb fb fb fb

Hampir 90 peratus kawasan kebakaran tanah gambut di Kuala Baram berjaya dipadam

Foto RTM

MIRI, 28 Mac - Setakat ini hampir 90 peratus kawasan kebakaran hutan tanah gambut di Kuala Baram berjaya dipadam dan usaha-usaha pemadaman daripada semua pihak akan diteruskan supaya dapat mengawal serta memadam punca api dari tanah gambut yang terbakar.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Usaha yang berterusan oleh semua pihak termasuk dua aset untuk operasi pemadaman dari udara iaitu helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM dan Bombardier Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, APMM didatangkan bagi membantu memadamkan api.

Katanya kira-kira tinggal 10 peratus lagi kawasan yang terbakar perlu dipadam, manakala imej daripada dron menunjukkan kebanyakkan kawasan telah berjaya dipadam.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian, JPBB Miri dalam mengkoordinasikan semua agensi-agensi terlibat yang telah menunjukkan kerjasama mereka sehingga dapat mengatasi masalah kebakaran hutan tanah gambut di Kuala Baram.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai keadaan kebakaran hutan tanah gambut di Kuala Baram oleh agensi - agensi berkaitan di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Miri.

Terdahulu kebakaran hutan tanah gambut yang berlaku di Kuala Baram pada 23 Mac lalu sehingga ke hari ini (28 Mac 2024) telah merebak seluas 100 ekar namun tidak menghasilkan jerebu yang teruk dengan catatan Indeks Pencemaran Udara, IPU adalah pada bacaan indeks 70 lebih di Miri iaitu masih dalam kategori baik dan diharap dapat dikekalkan.

Katanya kebakaran hutan tanah gambut ini berlaku disebabkan kawasan di utara Sarawak mengalami cuaca yang sangat kering sehingga berlaku kebakaran hutan.

Beliau turut dimaklumkan bahawa cuaca di Utara Sarawak dijangka akan terus mengalami keadaan panas dan kering.

Sehubungan itu,beliau menyeru rakyat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi membendung kawasan hutan daripada terbakar dengan lebih luas sehingga memudaratkan rakyat,.

Selain melaporkan secepat yang mungkin sekiranya terlihat petunjuk-petunjuk kebakaran yang berlaku di tempat masing-masing.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD