SHAH ALAM, 11 Mac- Selangor mencatatkan 69.7 peratus atau tujuh daripada 10 wanita di negeri itu menyertai sektor pekerjaan berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu turut disumbang kepada faktor tekanan ekonomi yang memerlukan kedua-dua pasangan suami atau isteri bekerja.
"Ini adalah satu petanda bahawa ia bukan lagi menjadi satu norma atau menjadi sebahagian daripada perkara taboo tentang keterlibatan wanita dalam sektor pekerjaan.
"Cumanya sekarang kita perlu mempertingkatkan bagaimana sektor tertentu memberi layanan kepada wanita di tempat kerja dan sebagainya. Ia termasuk sokongan daripada keluarga dan juga masyarakat agar ia dapat bergerak seiring," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara Talent Corporation Malaysia Berhad, TalentCorp dengan Wanita Berdaya Selangor, WBS bagi menjayakan program Jelajah Wanita MyWira di sini.
Inisiatif WBS dan TalentCorp mendapat sokongan kerajaan Selangor.
Jelajah Wanita MyWira akan bermula dari April hingga November tahun ini meliputi 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.