fb fb fb fb fb

Hadis panduan sepanjang zaman – Menteri Agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar/Foto RTM

PUTRAJAYA, 5 Ogos – Hadis kekal sebagai panduan hidup umat Islam merentas zaman dan memainkan peranan penting dalam membentuk peradaban Islam yang berteraskan nilai sejagat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pemahaman mendalam terhadap hadis digalakkan agar mesej yang terkandung di dalamnya dapat dihayati dan diamalkan.

"Yang penting ialah untuk kita tadabbur dan fahami hadis Rasulullah S.A.W. secara mendalam, bukan sekadar dihafal. Falsafah dan mesejnya tetap sama, tetapi apa yang penting ialah bagaimana kita dapat mengambil manfaat dan bertindak berdasarkan hadis tersebut," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Hadis Antarabangsa 2025 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Persidangan yang bertemakan "Memperkasa Kemanusiaan Melalui Hadis" itu memberi tumpuan kepada peranan hadis dalam menangani pelbagai cabaran kontemporari seperti isu moral, perubahan iklim, teknologi dan dasar awam.

Datuk Dr. Mohd Na’im turut menegaskan kepentingan pendekatan ilmiah dan kontekstual dalam memahami hadis, agar ia kekal relevan dengan realiti semasa.

Menurut beliau, Malaysia komited untuk terus memartabatkan pengajian hadis menerusi pelbagai inisiatif berskala antarabangsa seperti program Sama’ Sahih al-Bukhari yang menghimpunkan ulama dari seluruh dunia.

Persidangan berkenaan turut dilihat sebagai platform penting dalam menyatukan para ilmuwan dan masyarakat bagi menghidupkan kembali warisan kenabian, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD