fb fb fb fb fb

Guru Orang Asli cekal didik anak bangsa

(FOTO RTM)

GUA MUSANG, 24 Jun-Bagi memastikan anak bangsanya tidak keciciran dalam mendapat pendidikan sewajarnya, dua orang guru wanita Orang Asli gigih mengajar anak komuniti Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Gob sejak enam tahun lalu.

Malina Jasmin, 35 tahun dan Norazsikin Azmi, 28 tahun mendidik seramai 25 orang kanak-kanak berumur antara empat hingga sembilan tahun di Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob yang ditubuhkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama CIMB Islamic.

Menurut Malina, kebanyakan ibu bapa Orang Asli tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis kerana jaraknya yang jauh dari Pos Gob.

Kata Malina lagi, disebabkan faktor jarak itu, pihak UKM bersama CIMB Islamic telah menubuhkan sebuah Pusat Pendidikan Komuniti bagi membantu kanak-kanak Orang Asli mendapat pendidikan awal sebelum diserapkan ke sekolah aliran utama.

"Selepas tamat di sini, kanak-kanak tersebut akan menyambung pengajian di SK Kuala Betis bagi memasuki tahun empat.

"Jarak yang jauh dari Pos Gob ke Kuala Betis menyebabkan ibu bapa sukar menghantar anak-anak ke sana", katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru, Noraszkin Azmi berkata sekolah berkenaan beroperasi dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi setiap hari dan menggunakan dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Temiar sebagai medium komunikasi agar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih mudah dan cepat.

Tambah Noraszikin, Pos Gob memerlukan sebuah sekolah khas bagi kanak-kanak berusia enam sehingga tahun bagi memastikan mereka tidak keciciran dalam pembelajaran.

" Pos Gob sebenarnya memerlukan sekolah untuk kanak-kanak berusia bawah tujuh sehingga sembilan tahun memandangkan kesukaran ibu bapa untuk menghantar anak ke Kuala Betis.

"Apabila melihat ada antara mereka yang tidak dapat bersekolah, ada sedikit rasa kecewa sebab mereka tercicir", kata Noraszikin lagi.

Dua ‘guru rimba’ itu berkata, kanak-kanak di Pos Gob akan ke sekolah arus perdana apabila berusia 10 tahun.

Pos Gob terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar Gua Musang.


(Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob/FOTO RTM)

Media Baharu