fb fb fb fb fb

Guna laluan Gua Musang-Jeli, elak kesesakan di Gua Musang-Kuala Krai

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Ir. Mohd Suhaili Ismail

GUA MUSANG, 4 April - Perantau yang mahu pulang ke Kelantan bagi menyambut perayaan Aidilfitri disaran menggunakan laluan FT04 iaitu jalan Gua Musang-Jeli sebagai langkah penyuraian trafik.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Ir. Mohd Suhaili Ismail berkata, pengguna jalan raya yang ingin menghala ke Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat dinasihatkan agar menggunakan laluan FT04 bagi mengurangkan kesesakan di laluan Gua Musang-Kuala Krai (FT08).

Menurutnya, pihaknya menjangkakan pertambahan kenderaan secara mendadak memasuki negeri ini menggunakan jalan Gua Musang-Kuala Lipis bermula Jumaat ini.

"Kebiasaannya pengguna jalan raya akan tertumpu kepada laluan Gua Musang-Kuala Krai yang sering menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"JKR akan meletakkan beberapa papan tanda untuk memaklumkan perantau yang terlibat supaya menggunakan laluan terbabit agar dapat mengurangkan jarak kesesakan jalan Gua Musang-Kuala Krai yang turut terlibat dengan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU)," kata Mohd Suhaili.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Mesyuarat Penyelarasan Trafik di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, di sini.

TETITIA YUSOFF