(Gula putih bertapis jernih atau gula premium keluaran MSM)
KUALA LUMPUR, 25 Mei- Gula putih bertapis jernih yang akan berada dalama pasaran bakal memberi pilihan kepada pengguna selain daripada gula putih bertapis kasar dan halus sedia ada.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), Syed Feizal Syed Mohammad, pengeluaran gula baharu ini adalah pilihan tambahan kepada bekalan gula sedia ada dalam pasaran.
"Gula ini diproses pada tahap terbaik dan rasa lebih manis. Pengguna boleh mendapatkannya dalam pasaran seluruh negara pada masa terdekat dengan harga anggaran sekitar RM4.20 hingga RM4.60 sekilogram.
"Pihak industri juga ingin memberi jaminan bekalan gula sedia ada mencukupi dan dijual pada harga kawalan yang ditetapkan,"katanya.
Terdahulu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan kelulusan permohonan MSM dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih mulai hari ini.
Ia merupakan sebahagian daripada pelan pemasaran syarikat-syarikat tersebut untuk terus kekal berdaya saing dan lestari.
(Ketua Pegawai Eksekutif MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM),
Syed Feizal Syed Mohammad)