fb fb fb fb fb

GPS akur titah Agong, pastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan

KUCHING, 6 Mei- Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal dengan pendirian untuk terus akur terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan terus memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia merupakan pendekatan yang lebih penting dalam memastikan kerajaan terus memberi fokus kepada pembangunan dan pemulihan ekonomi negara bagi kesejahteraan rakyat.

“Ia lebih kritikal kepada kami di peringkat GPS sebab dengan ekonomi yang kukuh barulah kita akan dapat bukan sahaja memulihkan ekonomi negara kita, baru kita dapat membantu rakyat kita.

Rakyat sekarang ini memang boleh sudah dikatakan mengharapkan semua parti politik menumpukan kepada kebajikan rakyat, kemaslahatan negara kita dengan kita memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi di negara kita," Datuk Seri Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2023 anjuran Persaudaraan Masjid, Bintangor dan Haji Taha MBHT di Kuching.


(Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof ditemui media pada
Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2023 anjuran Persaudaraan Masjid, Bintangor dan Haji Taha MBHT)

Beliau turut menggesa semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan negara serta pemulihan ekonomi dan bukan hanya terlibat dalam hal-hal politik.

Beliau juga menyeru setiap komponen parti Kerajaan Perpaduan untuk terus menjaga sensitiviti antara parti.

Dalam masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri itu menggesa pihak pembangkang untuk terus memberi teguran yang konstruktif kepada kerajaan bagi memastikan sasaran pemulihan ekonomi tercapai.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menggesa badan MBHT untuk membangunkan pusat kebudayaan Melayu Kuching yang juga akan bertindak sebagai pusat pendidikan ke arah memperkasakan lagi generasi muda dalam semua aspek.

Media Baharu