GEORGE TOWN, 8 September - Bantuan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperkenalkan kerajaan nyata meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan rentan dan B40.
Tinjauan RTM di beberapa pasar raya sekitar Georgetown mendapati orang ramai terus memanfaatkan bantuan itu untuk menampung keperluan asas harian.
Bagi Naim Othman, bantuan SARA membolehkannya membeli barangan yang sebelum ini sukar diperoleh kerana harga lebih tinggi.
“Sekurang-kurangnya boleh beli pampers, beras panjang dan barangan asas lain. Memang terasa sedikit ringan beban bila ada bantuan ini,” katanya.
Naim Othman
Seorang lagi penerima, Amir Syamimi Hashim menyifatkan bantuan ini sangat signifikan buat golongan B40, namun berharap jumlahnya dapat ditambah pada masa hadapan.
“Kalau dapat dinaikkan kepada RM200 seorang akan lebih baik dan biarlah ia terus disalurkan terus kepada golongan sasaran melalui sistem PADU,” jelasnya.
Amir Syamimi Hashim
Sementara itu, S. Pravina menekankan kepentingan bantuan seperti ini untuk isi rumah.
“Kalau satu keluarga ada dua atau tiga penerima, jumlahnya sudah menjadi RM300. Ia memang banyak membantu perbelanjaan bulanan,” katanya.
S. Pravina
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan pemberian SARA bernilai RM100 seorang bukanlah penyelesaian tunggal, sebaliknya salah satu langkah kerajaan bagi membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
SARA merupakan tambahan kepada inisiatif MySARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada.
Sehingga kini, lebih 11.8 juta rakyat telah memanfaatkan bantuan itu dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM745.7 juta di seluruh negara sejak pengagihan bermula pada 31 Ogos lalu.
Kementerian Kewangan memaklumkan, setakat lapan hari selepas pelaksanaan, jumlah jualan direkodkan mencecah RM102.5 juta melibatkan 1.7 juta penerima, manakala kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9 peratus hasil penambahbaikan sistem.