
SERDANG, 24 Januari – Golongan orang kurang upaya (OKU) meluahkan rasa bangga dan bersyukur apabila memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang disifatkan mampu mengubah persepsi masyarakat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka.
- SKM memberi keyakinan dan menghapuskan stigma, membolehkan OKU dibuktikan setaraf dengan orang lain.
- Sijil meningkatkan nilai diri dan pengiktirafan profesional, membuka peluang pekerjaan serta peranan baharu.
- Program pensijilan kemahiran negara adalah platform inklusif memperbaiki taraf hidup dan kebolehpasaran OKU.
Penerima SKM Tahap 3 dalam bidang Urut Terapi, Tengku Mazaha Tengku Daus, 39, dari Pulau Pinang berkata, dia menjalani latihan di Pusat Rawatan Nusantara dalam bidang urutan bermula sejak usia muda.
Namun hanya serius mengikuti latihan secara profesional sejak empat tahun kebelakangan ini selepas mengetahui tentang pusat latihan melalui media sosial. Peluang mendapatkan SKM memberi keyakinan baharu kepada golongan OKU untuk membuktikan kemampuan diri.
“Dengan adanya sijil ini, orang OKU tidak akan dipandang rendah. Kita pun boleh berjaya macam orang lain. Ia buatkan saya lebih yakin dan tidak rasa rendah diri,” katanya.
Tengku Mazaha ditemui RTM selepas Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia 2026 yang berlangsung di Dewan Besar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.
Seorang lagi graduan OKU, Mohd Sobrie Md Noor, 41, yang juga penerima SKM Tahap 3 Pengacaraan Profesional dari Kuala Lumpur, berkata sijil tersebut bukan sahaja meningkatkan nilai diri, malah membantunya membuktikan kebolehan dalam bidang yang diminatinya.
Walaupun bertugas sebagai pembantu akauntan di Kementerian Pertahanan sejak hampir 14 tahun lalu, SKM memberi pengiktirafan rasmi untuk melakukan tugas sebagai pengacara majlis.
“Dengan adanya SKM, orang akan lebih yakin dengan kelayakan kita. Ia jadi nilai tambah dan bukti bahawa golongan OKU juga mampu melaksanakan tugas secara profesional,” katanya.
Mohd Sobrie turut berharap lebih ramai OKU akan terdorong mengikuti latihan kemahiran mengikut minat masing-masing dan memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan melalui sistem pensijilan kemahiran negara.
Majlis Konvokesyen SKM 2026 menyaksikan penyertaan graduan daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan OKU, sekali gus membuktikan pendidikan dan latihan kemahiran mampu menjadi platform inklusif untuk meningkatkan taraf hidup serta kebolehpasaran pekerjaan semua lapisan masyarakat.