fb fb fb fb fb

Golongan asnaf, B40 diberi peluang sertai TVET maritim Ranaco

FOTO RTM

Kemaman, 22 September - Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI) menjalin kerjasama dengan Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar bagi memperkukuh pendidikan dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET) khusus untuk golongan berpendapatan rendah serta asnaf.

Inisiatif itu selari dengan dasar kerajaan untuk memperluas akses pendidikan TVET, terutama dalam bidang maritim dan perkapalan yang mempunyai potensi besar dalam memenuhi keperluan tenaga kerja pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar, Khairul Anuar Khahfi berkata, kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada penambahbaikan prasarana serta kemudahan pembiayaan yuran pendidikan bagi pelajar kurang berkemampuan.

“Kalau melalui pinjaman pendidikan yang disediakan Yayasan, ia akan lebih memudahkan pelajar. Berbanding pinjaman pihak swasta atau bank yang lebih ketat, kita cuba permudahkan mereka,” katanya.

Melalui usaha berkenaan, lebih ramai pelajar Bumiputera berpotensi tinggi tetapi berdepan kekangan kewangan berpeluang mengikuti kursus ditawarkan sekali gus membuka ruang pekerjaan dalam sektor berkenaan di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Education and Training Institute, Syafiq Asraf Mohd Yusup berkata, kerjasama tersebut mengukuhkan lagi peranan Ranaco sebagai institusi latihan kemahiran maritim, perkapalan serta minyak dan gas di negara ini.

“Objektif utama kita ialah memastikan anak-anak kurang berkemampuan tidak tercicir daripada melanjutkan pengajian dalam bidang TVET. Ranaco menjadi wadah untuk mereka menembusi industri ini,” ujarnya.

Hadir sama dalam majlis lawatan itu ialah Pengerusi Yayasan berkenaan, Tengku Hassanal Badyr Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz.

Ranaco merupakan satu-satunya institusi pendidikan milik bumiputera yang menawarkan latihan dalam bidang maritim, perkapalan serta minyak dan gas di Malaysia. Ketika ini, lebih 500 pelajar sedang mengikuti latihan TVET di peringkat sijil dan diploma.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE