
KUALA LUMPUR, 26 Februari – Kecekapan bertindak dalam tempoh 24 jam pertama atau ‘Golden Hour’ menjadi penentu sama ada wang mangsa penipuan dalam talian dapat diselamatkan atau sebaliknya.
- Ambil tindakan segera dalam 24 jam pertama dengan hubungi talian kecemasan 997 atau bank untuk membekukan akaun.
- NSRC bekerjasama dengan BNM, PDRM, SKMM dan NFCC untuk menjejaki, menyekat dan membekukan aliran wang haram.
- Gunakan portal semakmule.rmp.gov.my untuk semak akaun, nombor telefon atau syarikat sebelum membuat transaksi.
Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menegaskan mangsa yang menyedari akaun bank diceroboh perlu segera menghubungi talian kecemasan 997 bagi membolehkan tindakan teknikal segera diambil.
Timbalan Pengarah (Jenayah Siber) JSJK Bukit Aman, DCP Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan NSRC kini berpaksikan semangat ‘SSP’ iaitu Sekat, Siasat dan Pulang.
Akaun yang terlibat akan disekat serta dibekukan serta-merta bagi membolehkan pegawai penyiasat menjalankan tindakan di bawah Seksyen 116D Kanun Prosedur Jenayah.
“Dalam tempoh pembekuan sehingga 18 bulan tersebut, pegawai penyiasat akan mengenal pasti rangkaian akaun yang terlibat, menyenaraihitamkan akaun keldai, serta menjejaki aliran wang kerugian.
“Ini bagi memastikan dana berkenaan tidak terus disalahguna untuk aktiviti penipuan lain,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Menurut beliau, proses siasatan tersebut turut memfokuskan kepada mengenal pasti dalang di sebalik sindiket sebelum beralih kepada fasa terakhir iaitu pemulangan semula wang kepada mangsa.
Sekiranya terdapat baki wang yang berjaya disekat di dalam akaun tersebut, pegawai penyiasat akan mengambil tindakan segera untuk memulangkan dana berkenaan kepada mangsa mengikut prosedur undang-undang sedia ada.
Beliau turut memaklumkan NSRC adalah kolaborasi empat agensi iaitu BNM, PDRM, SKMM, dan NFCC bagi melaksanakan tindakan pantas terhadap jenayah penipuan kewangan dalam talian.
Gabungan agensi ini memfokuskan kepada penjejakan serta pembekuan segera aliran wang haram bagi meminimumkan kerugian mangsa dan melumpuhkan rangkaian sindiket secara bersepadu.
Peluang melakukan proses penjejakan dan pembekuan akaun adalah sangat tinggi jika laporan dibuat segera, namun peluang tersebut menipis jika laporan lewat dibuat mangsa.
Orang awam dinasihatkan menghubungi bank atau NSRC tanpa perlu menunggu laporan polis terlebih dahulu bagi membolehkan langkah teknikal menyekat akaun dilakukan dengan pantas.
Mereka juga boleh memanfaatkan portal https://semakmule.rmp.gov.my/ kendalian PDRM untuk membuat semakan awal terhadap nombor akaun bank, nombor telefon, atau nama syarikat.
Ini bagi mengenal pasti penglibatan dalam rekod jenayah komersial serta akaun keldai sebelum sebarang transaksi kewangan dilakukan.