fb fb fb fb fb

GISBH : Polis lakukan siasatan komprehensif, ikut undang-undang

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

BANDAR BAHARU, 5 Oktober- Siasatan polis terhadap kes GISB Holdings (GISBH) dilakukan secara komprehensif dari pelbagai sudut peruntukan undang-undang.

Perkara itu sekali gus menyebabkan jumlah tangkapan individu yang dikaitkan dengan organisasi tersebut berubah mengikut keperluan siasatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah anggota polis terlibat dalam kes ini melebihi 1,000 dan turut melibatkan pakar kaunseling serta psikologi.

"Jadi dari segi angka, ia adalah dinamik kerana setiap siasatan akan menghasilkan penemuan-penemuan baharu.

"Siasatan polis harus dibezakan daripada tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) serta pihak berkuasa agama negeri. Mereka menumpukan aspek penyelewengan akidah, manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) kawal selia perkara berkaitan mengikut akta," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Sua Mesra KDN dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-76 di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di sini.

Ppada peringkat awal siasatan, hanya empat peruntukan undang-undang melibatkan agensi bawah KDN digunakan, namun kini siasatan sudah bertambah hingga 10 peruntukan undang-undang bawah pelbagai agensi kementerian itu.

Antara undang-undang yang diguna pakai untuk siasatan termasuk Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017, Akta Pertubuhan 1966, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Setakat ini jumlah tangkapan terkini ahli GISBH beberapa hari lalu adalah seramai 625 orang. Siasatan akan dilengkapkan dan kemudian diserah kepada Pejabat Peguam Negara.

Dalam perkembangan lain, seorang anggota polis antara ditahan bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang anggota tentera di Song, Sarawak pada 23 September lepas.

Saifuddin berkata perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata ketika kunjungan beliau ke Sarawak, baru-baru ini.

"Sebab insiden itu berlaku di satu kawasan latihan tentera. Laporan polis dibuat maka polis segera membuat siasatan awal untuk mengesan berhubung kejadian itu.

"Saya dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, kita panggil anggota polis terlibat dan kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes itu," katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan melaporkan dua individu disyaki pemburu haram yang melepaskan tembakan hingga menyebabkan kematian, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Hasil siasatan dan maklumat orang awam kedua-dua suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.00 petang 24 September lalu di Song.

Sementara itu Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa mangsa merupakan anggota formasi Briged 9 Sibu yang sebahagian daripada Batalion Ke-13 Rejimen Renjer Diraja Sarawak.

Insiden berkenaan berlaku ketika mangsa sedang menjalani Eksesais Pasak Bumi (EPB) yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 29 September lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI