fb fb fb fb fb

Gelombang haba: Separuh sekolah di Manila terpaksa ditutup

Para pelajar meninggalkan sekolah akibat haba melampau. Suhu yang meningkat mendadak menyebabkan hampir separuh sekolah di ibu kota Filipina ditutup pada 3 Mac. / Foto AFP.

MANILA, 3 Mac– Hampir separuh sekolah di sini terpaksa ditutup pada Isnin akibat suhu panas melampau yang menandakan bermulanya musim kering di negara Asia Tenggara itu, menurut pegawai tempatan.

Jabatan kaji cuaca negara mengeluarkan amaran bahawa indeks haba dijangka mencapai tahap “bahaya” di Manila dan di dua lagi wilayah lain.

“Keadaan ini boleh menyebabkan kekejangan haba dan keletihan menurut kenyataan amaran itu, sambil menasihatkan penduduk di kawasan terjejas supaya mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari.

Tahun lalu, gelombang haba yang melanda Filipina pada April dan Mei menyebabkan penangguhan kelas secara bersemuka hampir setiap hari, menjejaskan jutaan pelajar.

Suhu di Manila mencatat rekod tertinggi 38.8 darjah Celsius pada 27 April tahun lalu.

Meskipun suhu pada Isnin hanya dijangka mencecah 33 darjah Celsius, pihak berkuasa di Manila dan enam daerah lain mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup sekolah.

Menurut data Kementerian Pendidikan Filipina, lebih 2.8 juta pelajar terjejas akibat penutupan ini.

Sementara itu, di daerah Malabon, pegawai pendidikan Edgar Bonifacio berkata lebih 68,000 pelajar dari 42 sekolah terjejas oleh keputusan tersebut.

“Kami terkejut dengan amaran indeks haba ini,” katanya kepada AFP.

Bagaimanapun, berdasarkan protokol yang diperkenalkan semasa gelombang haba tahun lalu, pihak sekolah di daerah tersebut telah mencadangkan agar kelas bersemuka digantung sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kebimbangan utama kami adalah sesi persekolahan hampir berakhir pada pertengahan April,” katanya.

“Ini bermakna jumlah hari persekolahan yang tersedia akan berkurangan.”

Dalam pada itu, di daerah Valenzuela, pegawai sekolah Annie Bernardo berkata semua 69 sekolah di sana telah diarahkan beralih kepada model pembelajaran alternatif seperti kelas dalam talian.

Purata suhu global mencapai rekod tertinggi pada 2024 dan buat pertama kalinya melepasi ambang pemanasan kritikal 1.5 darjah Celsius.

Pada Januari lalu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan bahawa cuaca ekstrem telah mengganggu sesi persekolahan kira-kira 242 juta kanak-kanak di 85 negara sepanjang tahun lalu, termasuk di Filipina, dengan gelombang haba menjadi faktor utama.

Aktiviti manusia, termasuk pembakaran bahan api fosil secara berleluasa sejak beberapa dekad lalu, telah meningkatkan suhu bumi dan mengubah pola cuaca.

Perubahan ini menyebabkan tempoh hujan menjadi lebih lebat dan musim kering menjadi lebih kering, sekali gus meningkatkan risiko haba melampau serta ribut yang lebih ganas, menjadikan populasi dunia lebih terdedah kepada bencana.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD