fb fb fb fb fb

Gangguan seksual kanak-kanak dalam talian, ibu bapa digesa ambil tindakan

SEPANG, 28 Ogos- Lebih 94,000 aduan berkaitan gangguan seksual kanak-kanak menerusi dalam talian diterima Polis antara tahun 2017 hingga 2021.

Jenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran utama itu perlu dibendung secara serius berikutan jumlah kes yang dilaporkan menunjukkan angka yang membimbangkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk membantu terutama dalam memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak berkaitan jenayah seksual dan cara yang selamat untuk melayari media sosial.

"Keadaan sekarang dengan teknologi semakin maju banyak kanak-kanak ini terdedah dengan teknologi dan kita hendak teknologi ini jangan di salah guna ataupun mereka terperangkap dengan anasir yang tidak selamat ini", katanya.

"Jadi kerana itu melalui program ini kita mengharapkan supaya mereka ini sedar dengan memberikan bimbingan dan kesedaran kepada kanak-kanak yang lain.


(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun)

Tambah beliau di peringkat kementerian, penganjuran program Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin Rakyat yang dianjurkan hasil kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Pewakilan Kanak-kanak (MPKK), dengan sasaran untuk menyampaikan mesej khusus buat kanak-kanak.

Beliau ditemui media selepas hadir Program Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin Rakyat Sempena Kempen Membenteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak di Sepang, Selangor.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Seramai 500 peserta menyertai program tersebut yang membabitkan aktiviti kuiz, seminar motivasi berkaitan kesedaran jenayah dan ceramah seksual yang diadakan secara interaktif bagi menarik perhatian peserta.

Kempen ini turut memperkenalkan "kaktus" sebagai simbol kebersamaan ahli komuniti dan kerajaan dalam menangani isu jenayah berkenaan.

Ia juga memberi peluang kepada masyarakat melalui penyertaan Pasukan Perlindungan Kanak-kanak untuk lebih mengenali dan memahami keperluan kanak-kanak di kawasan masing-masing.

Media Baharu