Gangguan bekalan air tidak berpunca daripada pembangunan pusat data

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dah Komunikasi, Mohamad Fazli

JOHOR BAHRU, 22 Februari -Dakwaan yang mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam, Kluang dan Benut, Pontian dengan pembangunan pusat data disifatkan sebagai tidak berasas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dakwaan pusat data punca gangguan bekalan air di kawasan berkenaan tidak berasas.
  • Pusat data sedia ada hanya menggunakan kira-kira satu peratus bekalan air terawat negeri.
  • Penggunaan domestik dan institusi kebajikan menyumbang 59.3 peratus, sektor bukan domestik 40.2 peratus.
  • Permohonan pusat data dinilai mengikut fasa bekalan air dan diwajibkan capai piawaian WUE atau guna teknologi penyejukan tanpa air.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dah Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pusat data yang kini beroperasi hanya menggunakan kira-kira satu peratus daripada keseluruhan air terawat bulanan negeri itu.

Katanya, jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding penggunaan domestik dan institusi kebajikan yang mencatatkan 59.3 peratus, manakala sektor bukan domestik pula menyumbang 40.2 peratus daripada keseluruhan penggunaan air.

“Ketika ini, 86 permohonan pembinaan pusat data diterima dan setiap permohonan dinilai mengikut fasa bekalan air.

“Had penggunaan air turut ditetapkan, melalui penanda aras keberkesanan pengunaan air (WUE) oleh Jawatankuasa Khas Pusat Data,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, mana-mana syarikat yang tidak mencapai tahap ditetapkan diwajibkan menggunakan teknologi penyejukan cekap air atau sistem tanpa penggunaan air.