fb fb fb fb fb

Gaji permulaan jurutera dikaji untuk tarik minat golongan muda

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 20 Disember - Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) akan mewujudkan sebuah pasukan petugas khas untuk mengkaji semula gaji permulaan jurutera berkhidmat dengan sektor awam di Malaysia yang dilaporkan agak rendah, berbanding negara luar.

Gaji permulaan yang dicadangkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ialah antara RM2,800 hingga RM3,500.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya tidak menolak gaji rendah menjadi faktor utama kurangnya minat golongan muda untuk menceburi profesion berkenaan sedangkan negara memerlukan lebih ramai jurutera untuk kelangsungan pembangunan.

(Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi)

"Merujuk kepada maklumat daripada BEM, nisbah jurutera kepada populasi rakyat Malaysia hanya 1:170 berbanding dengan negara maju yang lain. Saya turut maklum berkaitan isu gaji permulaan profesion teknikal di dalam negara yang dikatakan agak rendah jika dibandingkan dengan negara luar.

"Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa BEM mewujudkan satu pasukan petugas khas untuk mengkaji gaji permulaan jurutera di Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2022, secara maya, di sini.

HPTN yang mula membuka tirai sejak semalam hingga esok menampilkan tujuh aktiviti antaranya pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), legasi infrastruktur 150 tahun Agensi Teknikal Negara dan 36 pempamer teknikal daripada pelbagai disiplin kejuruteraan.

Media Baharu