KANGAR, 7 Disember - Lebih 100 sukarelawan terdiri daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan bergabung dalam Misi Bantuan Pasca Banjir sekitar Parlimen Kangar.
Misi utama adalah untuk menyalurkan 300 bakul makanan secara terus dari rumah ke rumah penduduk yang terjejas.
Menurut Penaung Pertubuhan Sukarelawan Malaysia (MYVO), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, pengagihan melibatkan empat kawasan dewan undangan negeri (DUN) di parlimen tersebut.
"Misi kali ini agak berbeza berbanding kelaziman yang menghimpunkan bantuan di satu lokasi atau penyaluran menerusi wakil penduduk," jelas beliau ketika ditemui pemberita pada Pelepasan Misi Bantuan Pasca Banjir di Kangar.
"Kaedah seperti ini membolehkan sumbangan disalurkan secara terus kepada ketua isi rumah disamping membolehkan setiap sukarelawan meninjau permasalahan dihadapi setiap keluarga selepas banjir," ujarnya.
Antara NGO terlibat ialah Majlis Belia Negeri Perlis, Pertubuhan Kebajikan Anak JATI Perlis, Misi Food Delivery an Pertubuhan Kebajikan Anak Juang Perlis.