fb fb fb fb fb

FTA Malaysia-UK bakal perkukuh perdagangan & pelaburan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz/ Foto Facebook Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pertama antara Malaysia dan United Kingdom (UK) bakal memperkukuh perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.

Perjanjian itu akan direalisasi apabila UK secara rasmi menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), 15 Disember ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penyertaan UK dalam CPTPP membolehkan negara anggota perjanjian itu menikmati tarif eksport lebih rendah ke United Kingdom.

"Dari Malaysia ke United Kingdom, sebahagian besar eksport adalah dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang merangkumi hampir 25 peratus daripada jumlah eksport kita ke UK.

"Sektor ini pasti akan mendapat manfaat daripada Perjanjian Perdagangan Bebas antara Malaysia dan UK melalui CPTPP.

"Selain itu, terdapat sektor lain seperti mesin, peralatan dan alat ganti, terutamanya dalam industri aeroangkasa kerana kehadiran besar sektor ini di sini, serta minyak sawit. Produk berasaskan minyak sawit ini, yang termasuk dalam kategori produk pertanian, juga telah dipersetujui dalam CPTPP dan merangkumi hampir 10 peratus daripada eksport kita ke UK", katanya.

Pengeksport UK juga boleh memanfaatkan 16 FTA yang telah diratifikasi Malaysia, termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Tambahnya, UK kekal rakan dagang strategik Malaysia, dengan merekodkan jumlah dagangan mencecah RM14 bilion untuk sepuluh bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kira Detik Penyertaan United Kingdom dalam CPTPP di ibu negara.

ROSLINA BINTI DIN