fb fb fb fb fb

Forum Perdana Ehwal Islam Khas diadakan sempena Hari RTM Ke-76

KUALA LUMPUR, 31 Mac - Forum Perdana Ehwal Islam Khas diadakan bersempena Hari RTM Ke-76, bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini malam ini.

Forum tersebut yang disiarkan secara langsung pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1 selama 76 minit, bersempena angka ke-76 tahun ulang tahun RTM.

Konsep forum ‘Menggamit Kenangan’ menampilkan gabungan personaliti lama dan baharu yang pernah muncul dalam rancangan Forum Perdana Ehwal Islam.

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausaha K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek.


(Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin antara tetamu kehormat yang hadir pada Forum Perdana Ehwal Islam Khas)

Dengan tajuk Generasi XYZ, program edisi khas ini memfokuskan adab dan tatacara komunikasi berlandaskan lunas Islam serta dakwah alaf baharu melalui media sosial seperti Youtube, Facebook dan Tik Tok.

Turut dibincangkan dalam forum tersebut antara lain kepentingan dunia komunikasi sebagai medium penyatuan ummah.

Sesi selawat dan zikir secara maya turut diadakan dengan diketuai Ustaz Fahkrul Razi dan turut melibatkan 76 kakitangan terdiri daripada pelbagai wakil RTM negeri di seluruh negara.

Terdahulu, pada sesi petang turut diadakan solat Maghrib secara berjemaah dan majlis bacaan Yassin serta doa selamat di Masjid Muhammadi,Angkasapuri.

Media Baharu