KUALA LUMPUR, 16 September- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sokongan penuh Malaysia terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan rakus rejim Zionis Israel, selain memperkukuh kesepakatan membela Palestin serta mempertahankan kedaulatan negara Arab-Islam.
Dalam kenyataan di Facebook pagi tadi, beliau berkata, perkara itu disuarakan ketika berkesempatan mengadakan pertemuan ringkas dengan beberapa pemimpin di luar Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar semalam.
Pemimpin berkenaan ialah Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Raja Jordan Raja Abdullah II Al Hussein, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.
"Kami menekankan sokongan penuh terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan rakus dan biadab rejim Zionis Israel, di samping memperkukuh kesepakatan untuk membela Palestin.
"Fokus utama adalah memastikan tindakan bersama yang lebih tegas bagi menamatkan pencerobohan Israel, mempertahankan kedaulatan negara Arab-Islam serta menjamin hak rakyat Palestin," tegas beliau.
Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan serangan Israel terhadap Doha pada 9 September lepas.
Serangan di kawasan Leqtaifiya itu melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis, mengorbankan enam orang termasuk anak pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, manakala pemimpin
utama Hamas dilaporkan terselamat.