fb fb fb fb fb

Lebih 500 penumpang feri terkandas akibat ribut

Feri yang terkandas di beting pasir akibat ribut hari ini

KUALA PERLIS, 16 September- Sebuah feri yang membawa 567 penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi terkandas lebih lima jam di beting pasir akibat ribut.

Menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Dr Baharin Baharom, feri tersebut yang dijadualkan berlepas pukul 2.00 petang telah "ditolak ribut" ke beting pasir kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Penumpang Kuala Perlis.

Pihak pengurusan kini sedang mempertimbangkan sama ada untuk memindahkan penumpang yang berada di buritan kapal ke terminal feri dengan pemantauan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atau menunggu air pasang pada pukul 8.00 malam.

Selain itu, operasi feri dari Kuala Kedah ke Langkawi juga terjejas apabila tiga perjalanan terpaksa berpatah balik akibat ribut kencang di perairan Kuala Kedah.

Sekiranya keadaan cuaca tidak berubah, feri yang membawa 1,300 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah yang dijadualkan tiba pada pukul 7.30 malam akan dilencongkan ke Kuala Perlis.

SITI AISHAH MD ISA