fb fb fb fb fb

Fenomena MTL, 61,839 anggota siap sedia digerakkan - PDRM

Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali telah dilantik sebagai komander operasi bencana peringkat pusat

KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga menggerakkan kekuatan operasi bagi menghadapi situasi bencana banjir.

Perancangan atur gerak yang rapi telah dilaksana dalam menghadapi fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal akan bermula lebih awal iaitu menjelang bulan November 2023 hingga Mac 2024.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali telah dilantik sebagai komander operasi bencana peringkat pusat.

PDRM juga telah mengenal pasti negeri-negeri berisiko tinggi seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak serta 5,648 kawasan lokasi berisiko banjir di 163 daerah di seluruh negara.

PDRM siap sedia untuk menggerakkan aset-aset miliknya melibatkan 503 buah bot banjir, 206 treler bot, 497 buah lori, 802 buah kereta pacuan empat roda, 17 ambulan dan van, 15 jet ski, 6,028 jaket keselamatan dan lapan pesawat udara, mengikut keperluan dan perkembangan semasa bencana.

"Seramai 61,839 orang anggota yang terdiri daripada lima agensi kerajaan iaitu PDRM dengan kekuatan anggota seramai 19,085 orang, Angkatan Tentera Malaysia (4,205), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (24,114), Angkatan Pertahanan Awam (10,510) dan 3,925 orang daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia," kata kenyataan itu.

Masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko banjir, dinasihatkan agar memberi kerjasama serta patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah, demi keselamatan serta mengelak kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, PDRM tetap menegaskan bahawa tahap keselamatan negara termasuk di sempadan, kekal diberi tumpuan sepanjang penugasan bencana banjir berlangsung.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM