KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-262 di Istana Negara.
Keberangkatan tiba Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut berangkat Sultan Johor Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pahang diwakili Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.
Majlis berkenaan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak diwakili yang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan menteri-menteri Kabinet turut hadir ke majlis itu.
Raja-Raja Melayu turut dijadual berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara Jumaat ini, bagi urusan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dipengerusikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim.
Kali terakhir mesyuarat itu diadakan adalah pada 22 dan 23 Februari lepas yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.