
KUALA LUMPUR, 27 Mac– Cuaca panas ekstrem ketika ini berpunca daripada fenomena Madden-Julian Oscillation (MJO) yang aktif di Asia Tenggara.
- Fasa tujuh dan lapan MJO menyebabkan dominasi pusat tekanan tinggi yang menghalang pembentukan awan dan hujan.
- Ketiadaan awan meningkatkan pancaran matahari ke permukaan, menaikkan suhu dan berpotensi mencetuskan gelombang haba jika berterusan.
- Fenomena ini dijangka berlanjutan satu hingga dua minggu lagi sebelum keadaan menjadi lebih lembap dan berpotensi membawa hujan.
- Masuk musim peralihan monsun; risiko hujan ribut petir dan banjir kilat meningkat, terutamanya di kawasan pantai barat.
Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Dr Fredolin Tangang berkata, MJO merupakan sistem cuaca yang bergerak dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik merentasi rantau ini.
Menurutnya, fenomena itu kini berada pada fasa tujuh dan lapan yang menyebabkan Asia Tenggara didominasi pusat tekanan tinggi.
“Keadaan ini menghalang pembentukan awan dan hujan, sekali gus meningkatkan pancaran matahari ke permukaan bumi dan menyebabkan suhu terus meningkat.
Situasi itu boleh mencetuskan gelombang haba sekiranya berterusan tanpa proses penyejukan semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Jelas beliau, fenomena MJO dijangka berlanjutan antara satu hingga dua minggu lagi sebelum keadaan menjadi lebih lembap dan berpotensi membawa hujan.
Tambahnya, fenomena ekuinoks pada 20 Mac turut menyumbang kepada peningkatan suhu apabila matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.
Malaysia kini berada di penghujung Monsun Timur Laut dan dijangka memasuki musim peralihan monsun.
Keadaan itu lazimnya membawa hujan ribut petir serta risiko banjir kilat, khususnya di kawasan pantai barat.
Dalam masa sama, kemungkinan berlakunya fenomena El Nino pada Monsun Barat Daya tidak ditolak.
Sehubungan itu, persediaan awal perlu dilakukan bagi meminimumkan impak terhadap masyarakat dan ekonomi negara.