
LANGKAWI, 3 Februari – Kira-kira 2,500 orang menyaksikan fenomena alam “laut terbelah” di Tanjung Rhu, di sini, hari ini.
- Fenomena sandbar walk berlaku kira-kira sejam selepas air laut surut, mendedahkan beting pasir hampir 800 meter.
- Pengunjung dapat berjalan ke pulau-pulau berdekatan dan melihat pelbagai hidupan laut tanpa aktiviti menyelam.
- Pengurusan acara termasuk keselamatan PDRM dan APM serta amaran siren 30 minit sebelum air pasang semula.
Fenomena unik yang turut dikenali sebagai sandbar walk itu berlaku selama kira-kira sejam bermula 6.30 pagi selepas air laut surut sehingga paras 0.1 meter dan hanya berlaku sekali setahun.
Fenomena berkenaan susulan kemunculan beting pasir hampir 800 meter di Pantai Tanjung Rhu, sekali gus membolehkan pengunjung berjalan kaki ke Pulau Penyu, Pulau Kelam Baya dan Pulau Cabang.
Pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai hidupan laut yang lazimnya hanya ditemui ketika aktiviti selam skuba.
Seorang pelancong dari Jerman, Selena, berkata beliau teruja dapat menyaksikan fenomena unik itu selepas dimaklumkan mengenainya sepanjang berada di Langkawi lebih empat hari bersama suaminya.
“Pulau ini sangat cantik, pantainya indah, penduduknya ramah dan kami amat menyukainya.”
Seorang pelancong tempatan dikenali sebagai Ima pula berkata beliau tidak melepaskan peluang merasai pengalaman berjalan di beting pasir itu walaupun pernah menyaksikannya sebelum ini.
“Pengalaman ini sudah lima tahun saya tunggu kerana sebelum ini tidak diwar-warkan, jadi setiap tahun saya datang.”
Sementara itu, Sarahanaz Mohd Aminalrashd menyifatkan pengalaman tersebut luar biasa dan memberi peluang menghayati keindahan ciptaan Tuhan.
“Pengalaman ini amat luar biasa, alhamdulillah kita dapat menghayati ciptaan Allah yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.”

Dalam pada itu, Timbalan Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, program seumpama itu menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan penekanan kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Dari aspek keselamatan, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ditempatkan di lokasi bagi memastikan keselamatan pengunjung.
APM turut membunyikan siren amaran 30 minit sebelum air pasang semula bagi memudahkan pengunjung berpatah balik ke pantai.