fb fb fb fb fb

FELDA perjelas isu hutang peneroka, kenyataan PM disalah tafsir

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penghapusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Susulan itu, FELDA melalui kenyataan tampil menjelaskan bahawa isu penghapusan sejumlah hutang peneroka telah dilaksanakan di peringkat FELDA tanpa penyaluran peruntukan geran dari kerajaan terdahulu pada tahun 2021 dan 2022.

Jelasnya, jumlah pelupusan hutang itu telah memberikan impak yang besar kepada aliran tunai dan prestasi FELDA.

"Sebagai langkah membantu dan menjamin kelangsungan FELDA, Perdana Menteri telah menandatangani perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) bagi penerimaan pertama geran RM990 juta dari kerajaan persekutuan untuk penebusan sukuk FELDA.

"Perjanjian itu antara lain memberikan ruang kepada FELDA untuk menstruktur semula komitmen kewangan terhadap kadar faedah yang dikenakan serta pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion," menurut kenyataan itu hari ini.

Tambahnya, Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sehingga RM990 juta setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk FELDA yang antara lainnya bagi membiayai hapus kira hutang peneroka FELDA.

Pengumuman itu dimaklumkan Anwar pada 7 Julai lalu sempena Sambutan Hari Peneroka FELDA.

Jelasnya, secara keseluruhan inisiatif ini melibatkan bantuan kewangan kepada FELDA sebanyak RM9.9 bilion bagi tempoh 10 tahun.

"FELDA menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas komitmen bagi menyempurnakan proses pemulihan FELDA demi menjamin kelangsungan sebagai satu institusi gergasi yang menaungi 112,638 keluarga peneroka di seluruh negara," katanya.

Pada 2021, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Muhyiddin Yassin mengumumkan pelupusan hutang peneroka itu Sempena Hari Peneroka Felda pada dua tahun lalu.

Pada 8 Julai lalu, media melaporkan Anwar kekal dengan pendirian bahawa hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin.

ARTIKEL BERKAITAN:
Hapus hutang peneroka Felda: PM kemuka bukti esok
Pelan Pemulihan FELDA: Kerajaan lulus jaminan RM9.9 bilion untuk terbit sukuk
PM nafi kenyataan Muhyiddin hapus hutang FELDA
Lupus hutang FELDA, Shabery nafi kenyataan Muhyiddin
Anwar kemuka dokumen FSRA, desak Muhyiddin mohon maaf

Media Baharu