fb fb fb fb fb

Fasa Peralihan Endemik bersifat sehala, kesihatan rakyat terus dilindungi

(Sidang Media Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddian bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) 

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Kerajaan yakin Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini adalah bersifat sehala atau tidak akan berpatah balik dan pada masa sama memastikan kesihatan rakyat dilindungi daripada penularan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, langkah itu berdasarkan data dan pemantauan semasa berkaitan jangkitan COVID-19 yang menunjukkan fasa peralihan itu boleh dilaksanakan.

Namun jelas Khairy, Kementerian Kesihatan (KKM) akan bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya.

"Contoh kita sudah sampai pada tahap sistem kesihatan kita lumpuh kita akan mengesyorkan pada kerajaan langkah-langkah tertentu tetapi setakat ini kita masih lagi melihat bahawa transisi ini boleh diteruskan dan pada masa sama terus mempertingkatkan pengawasan termasuk dara dari negara lain, kemunculan varian baharu dan sebagainya,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini.

Tambahnya, fasa peralihan tersebut amat penting kerana ia adalah strategi keluar atau ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas lebih dua tahun mendepani pandemik COVID-19.

Khairy turut menyatakan bahawa proses peralihan perlu disusuli dengan solidariti komuniti dan tanggungjawab individu termasuk meneruskan program pemberian vaksin meliputi kepada golongan kanak-kanak dan suntikan dos penggalak berbanding hanya bergantung intervensi kerajaan.

“Kita tidak lagi boleh bergantung pada SOP (prosedur operasi standard) dan Akta 342 (Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021)," katanya.

Selain itu, kerajaan akan mempertingkatkan pilihan rawatan kepada pesakit yang telah dijangkiti dengan ubat-ubatan baharu seterusnya kes-kes positif yang dipantau dari rumah akan dipantau melalui Pusat Penilaian COVID-19 Secara Maya (VCAC).

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Endemik’, membolehkan lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor dan pembukaan sepenuhnya sempadan negara dilakukan.

(Khairy dalam sidang media di Parlimen)

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut memaklumkan bahawa belum ada vaksin COVID-19 yang diluluskan untuk digunakan kepada golongan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

"Jadi bagi 5 tahun ke bawah ini, kalau boleh kita gunakan pendekatan kesihatan awam yang lain.. seperti penjarakan fizikal. Kadang-kadang kanak-kanak 5 tahun ke bawah tidak sesuai pakai pelitup muka. Jadi kita betul-betul kena lindungi mereka," katanya.

Media Baharu