fb fb fb fb fb

Cubaan seludup rokok bernilai lebih RM1.5 juta tumpas

PENGKALAN HULU, 9 Mac - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok pelbagai jenama di dua lokasi di Perak menerusi Ops Benteng Fasa 22.

Nilai keseluruhan rampasan tersebut melebihi RM1.5 juta.

Menurut Pengarah JKDM Perak, Datuk Dr Mohamad Saprin, pemeriksaan ke atas sebuah lori di lokasi pertama di Lenggong berjaya merampas sejumlah 1.7 juta batang rokok putih dengan nilai anggaran melebihi RM1.1 juta.

Manakala di lokasi kedua di Hentian Rehat dan Rawat, Sungai Perak, arah Selatan, di Kuala Kangsar, pemeriksaan pihak JKDM ke atas sebuah lori juga berjaya merampas 690,000 batang rokok dengan nilai anggaran melebihi RM460,000.

(Datuk Dr Mohamad Saprin menunjukkan rokok pelbagai jenama yang berjaya dirampas semasa sidang media)

"Ini antara rampasan yang tertinggi kerana sebelum ini kita merampas pelbagai jenama rokok yang juga bernilai jutaan ringgit", katanya dalam sidang media khas di Kompleks ICQ Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.

"Ini dibuat hasil risikan pasukan kita dan juga pasukan operasi kita yang membuat intipan dan mencari maklumat serta memastikan kawasan perak ini bebas daripada sebarang penyeludupan", katanya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan sama.

Media Baharu