fb fb fb fb fb

Tidak lengkap vaksin, pengembara perlu jalani kuarantin 5 hari

(Gambar fail saringan kesihatan ke atas pengembara)

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Pengembara atau individu yang tidak mendapatkan vaksinasi lengkap atau tidak mendapatkan sebarang jenis vaksin, perlu menjalani kuarantin selama lima hari selepas tiba di Malaysia.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin peraturan itu bermula apabila sempadan antarabangsa dibuka kepada pengembara luar pada1 April ini.

"Selepas individu berkenaan keluar dari kuarantin, individu itu mesti mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Malaysia. Sebagai contoh kalau tidak lengkap vaksinasi tidak boleh (dine in) makan di restoran sehingga mereka mendapat vaksinasi lengkap," katanya dalam sidang media berkaitan di bangunan parlimen.

Tambah Khairy, bagi pengembara yang dikecualikan daripada menerima vaksinasi atas faktor kesihatan, mereka perlu memuat naik bukti pengecualian yang diberikan pegawai perubatan ke dalam aplikasi MySejahtera.

Selain itu, kanak-kanak dan remaja yang berumur 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu melakukan ujian RTK-Antigen dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Malaysia.

Manakala bagi protokol pengembara yang melalui sempadan darat, perinciannya akan diumumkan pada minggu hadapan.

Maklumat lanjut berkaitan protokol pembukaan sempadan negara itu, boleh dilayari melalui portal covidprotocol.moh.gov.my yang dilancarkan hari ini.

Dalam sidang media itu, Khairy memaklumkan bahawa tempoh kuarantin bagi pengembara lengkap vaksinasi yang tiba di Malaysia sebelum 1 April masih tertakluk kepada protokol sebelum ini dan prosedur itu hanya akan tamat pada 1 April nanti.

(Menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media di parlimen)

Media Baharu