KANGAR, 26 Februari- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis menyasarkan sebanyak 233 Jualan Agro Madani dianjurkan pada tahun ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini mendapatkan barang keperluan pada harga rendah.
Pengarahnya, Mohd Anzara Azizan berkata, sehingga kini sebanyak 38 program telah diadakan dengan nilai jualan mencecah RM408,000.
Katanya, ia termasuk penyertaan FAMA dalam Karnival Usahawan dan Jualan Mega Madani Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) yang berlangsung selama tiga hari sejak kelmarin.
“Sekarang kita berada dalam operasi yang ke-39 kali Jualan Agro Madani walaupun kita baru berada di hujung Februari dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
“Sehingga kini kita telah dan sedang memberi manfaat kepada 18,000 rakyat Perlis dan 418 usahawan terlibat dengan menghasilkan jualan sebanyak RM400,000,” katanya kepada pemberita di Pasar Tani Kekal Simpang Empat, dekat sini semalam.
Mohd Anzara berkata antara barangan yang laris pada jualan itu adalah jualan kombo seekor ayam dan sayur pada harga RM10, daging dan beras.